Selesai sudah posting OnG dan sedikit sebanyak membuka ruang sebenar mengenai kehidupan sebagai seorang pelajar klinikal. Bukan setakat banyak ilmu pengetahuan yang aku perolehi malah banyak pengalaman yang aku perolehi semasa posting ini. Namun dalam kesibukan mengejar hal dunia, masa ibadahku semakin berkurang. Aku juga seperti saudara-saudaraku yang sering di uji. Dan akhirnya semua ini hampir melumpuhkan pengurusan masa aku buat 2 bulan ini. Pelbagai alasan boleh diberi, tetapi secara terus terang inilah kelemahan aku yang aku sedang bermujahadah memperbaikinya. Sikap istiqamah yang sering tergugat apabila diuji dengan sesuatu yang diluar kebiasaan kerja, tugasan dan rutin sebagai seorang mahasiswa.Kita akan diuji dengan apa yang kita sering tulis dan katakan. Itulah bukti Allah mengigatkan kita semasa kita mengigatkan orang lain. Walaupun kadang kadang kerana itu aku takut untuk menulis, tetapi aku gagahi untuk menempuh proses memperbaiki diri.
Terasa terharu melihat bagaimana seorang ibu melahirkan seorang anak terpaksa berdepan dengan berbagai risiko samada kepada ibu ataupun bayi. Membayangkan sejenak bagaimana sakitnya ibu aku yang melahirkan aku. Sering kali kita ambil tidak kisah terhadap ibu kita, sering kali kita melawan cakap ibu kita, namun ibu masih sayang terhadap diri ini. Kasih ibu tiada penghujungnya.
Patutkah
manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak
diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?
Bukankah ia berasal dari air mani yang di pancarkan( ke dalam rahim)?
kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu tuhan
menciptakannya, dan menyempurnakan kejadian( sebagai manusia)? ( Surah
Al-Qiyamah: 36-38)
Melihat kembali kejadian manusia, bagaimana kita yang hanya dihidupkan dari sehina hina air yaitu air mani namun masih ada lagi yang merasa mereka lebih baik daripada orang lain lalu dengan bongkaknya berjalan diatas muka bumi. Berlainan taraf dan berbeza kedudukan perlu difahami sebagai ujian Allah
SWT atas nikmat yang diberi. Memandang hina orang bawahan, merasa jijik
bergaul dengan golongan tidak setaraf, merasa terganggu dengan
kehadiran orang kurang upaya dan meluat melayan orang sakit adalah
ciri-ciri sikap bongkak sombong yang ditegah oleh Islam.
Sesungguhnya
kesombongan dan ketakburan yang kita zahirkan tidak akan membawa kita
menjadi lebih hebat dan nikmat yang berkekalan. Segalanya hanyalah
pinjaman sementara dan akhirnya kita akan kembali kepada Allah SWT
berbekalkan amal kebajikan semata-mata. Terfikir juga bahawa ahli
bongkak dan sombong ini terlupakah akan balasan malah azab dari Allah
yang bakal diterima?
"Dan janganlah engkau
memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan
janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya
Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi
membanggakan diri.
" ( Surah Luqman: 18)
.
0 comments:
Post a Comment